KUALA LUMPUR: Pilihan Raya awal dijangka mampu menyelesaikan cabaran ekonomi yang dihadapi ketika ini, kata Maybank IB Research dalam nota kajian.

Menurut Maybank IB, Pilihan Raya awal mampu memberikan kejelasan dasar yang lebih optimum terhadap permasalahan ekonomi terutama soal pengurusan fiskal kerajaan.

“Meskipun Cukai Makmur dinyatakan sebagai cukai sekali sahaja, pelabur mahu melihat langkah meyakinkan dalam strategi pungutan hasil jangka sederhana kerajaan untuk mengembangkan penjanaan hasil mampan.

“Ia sekali gus mengurangkan risiko sektor korporat digunakan secara berterusan untuk merapatkan jurang fiskal dan pengenalan cukai tidak langsung (seperti GST) juga dijangka tidak dilaksanakan menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). 

“Pilihan Raya awal dijangka mampu menyelesaikan isu ini dari segi menyampaikan tindak balas dasar yang optimum kepada cabaran semasa yang dicetuskan oleh keperluan ekonomi jangka panjang atau realiti, berbanding kemahuan politik jangka pendek,” menurut kenyataan.

Tambahnya beberapa faktor juga harus diberi tumpuan termasuk risiko nisbah 24 peratus pinjaman di bawah program bantuan bayaran balik setakat Oktober dan November mungkin menjadi pinjaman tidak berbayar (NPL), selain kos kredit kepada NPL pasca pemberian moratorium kali kedua setakat akhir Disember.

Maybank IB bekata meskipun PERKUKUH diperkenalkan pada Ogos lepas untuk meningkatkan Kadar Pulangan Pelaburan (ROI) Syarkat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), namun ia dijangka menghalang pengurusan berani dan atau penstrukturan semula organisasi.